Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Semalam, skuad Malayan Tigress B-20 menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan menundukkan skuad wanita B-20 Mongolia 3-0. Dan bagi ketua jurulatih Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi, bakat pemain-pemain ini menarik perhatiannya sepanjang perlawanan.
Jurulatih berdarah Jordan itu merasa kagum dengan semangat juang dan bakat teknikal yang dipamerkan anak-anak buah Cameron Ng. Walaupun tidak mendedahkan pemain mana yang menarik perhatiannya, ini dapat menambah bilangan pemain yang beraksi dalam pasukan senior.
“Saya kagum dengan persembahan mereka. Malangnya, padang tidak berada dalam keadaan yang bagus. Tapi saya percaya kita mencapai objektif perlawanan ini (perlawanan menentang Mongolia).
“Sejujurnya, beberapa pemain berjaya membuatkan saya kagum tetapi saya tidak akan dedahkan nama sesiapa. Sebenarnya, semua orang di setiap posisi bermain dengan baik. Jadi, itu tidak adil kepada pemain-pemain lain,” katanya kepada MakanBola selepas tamat perlawanan semalam.
Soleen percaya disebabkan skuad B-20 ini baru dibentuk dengan majoritinya pemain muda, mereka dilihat boleh menyerap semua maklumat dan mampu mengikut arahan jurulatih dengan baik. Dan itu sangat membantu dalam membentuk satu pasukan yang mantap.
“Bukan senang untuk mengaplikasikan falsafah baru ke dalam pasukan. Tetapi perlu diingat, bukan saja para pemain merupakan pemain baru tetapi jurulatih juga merupakan jurulatih baru.
“Kebanyakan pemain yang dipanggil ialah pemain muda dan pertama kali dipanggil menyertai pasukan kebangsaan. Mereka berkumpul dan bermain buat kali pertama.
“Jadi, pada saya, lebih mudah melatih pemain-pemain ini kerana mereka mudah beradaptasi disebabkan usia mereka yang muda. Saya ada bercakap dengan beberapa orang pemain dan kelebihan mereka ialah mereka bijak, amat memahami permainan dan bentuk pasukan lain,” tambahnya.