Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pencarian jurulatih baru skuad futsal Malaysia menggantikan Chiew Chun Yong sudah tamat dengan jurulatih Thailand, Rakphol Sainetngam menjadi pilihan FAM.
Mengikut laporan ASEAN Football, FAM sudah memuktamadkan rundingan dengan jurulatih Black Steel FC itu. Perlantikan Rakhpol sebagai jurulatih skuad futsal negara dijangka diumumkan pada 7 Ogos ini.
Pemilihan bekas jurulatih Bluewave Chonburi itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira pencapaian yang diraihnya bersama Black Steel.
Sejak dilantik sebagai jurulatih Black Steel pada Oktober 2019, Rakhpol mengemudi pasukan itu menjuarai Liga Futsal Profesional Indonesia (LFPI) pada 2020 dan naib juara liga berkenaan pada 2021.
Dan pada tahun ini, Black Steel muncul juara Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023. Bagi penyerang Pahang Rangers, Saiful Nizam Mohd Ali pasti mengetahui impak yang bakal dibawa Rakhpol untuk skuad futsal negara.
Ini kerana kelabnya menjadi mangsa ketajaman serangan Black Steel di mana mereka dibelasah 7-0 dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Futsal Kelab AFF 2023.
Yang pasti, fokus Rakhpol bila bergelar jurulatih skuad futsal Malaysia ialah pusingan kelayakan Piala Asia 2024 pada 7 hingga 11 Oktober depan di Uzbekistan.