Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dua hari lepas, Argentina muncul juara Piala Dunia buat kali ketiga selepas menewaskan Perancis di pentas final Piala Dunia 2022. Tetapi semasa hendak menjulang trofi berprestij itu, kapten Albiceleste Lionel Messi diminta mengenakan jubah Arab tradisional terlebih dahulu oleh tuan rumah Qatar. Tindakan tersebut pada awalnya dikecam tetapi ada sebab di sebalik pemakaian jubah tersebut.
Selepas berjabat tangan dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino dan Emir Qatar Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani, Messi kemudiannya diminta mengenakan jubah tersebut sebelum menjulang trofi Piala Dunia. Ramai merasa pelik dengan tindakan Qatar dan melihat jubah yang dipanggil bisht itu menutup terus jersi kebangsaan Argentina yang dipakai legenda Barcelona itu.
Setiausaha agung jawatankuasa penganjuran tuan rumah Hassan Al Thawhadi kemudiannya menerangkan keputusan tersebut kepada BBC Sport. “Ia merupakan pakaian untuk acara rasmi dan dipakai untuk sambutan keraian. Ini merupakan keraian untuk Messi.
“Piala Dunia kali ini merupakan peluang untuk menunjukkan kepada dunia budaya Arab dan Muslim kami. Ini bukan berkenaan Qatar, ini merupakan perayaan untuk satu wilayah. Manusia dari pelbagai latar belakang dapat datang, merasai pengalaman apa yang berlaku di sini dan memahami walaupun ada kalanya kita berbeza pandangan, tetapi kita boleh merayakan sesuatu secara bersama,” katanya.
Kenyataan tersebut turut disokong oleh Sheikh Tamim dalam ciapan di akaun Twitter rasminya. Baginda bertitah, “Kami telah memenuhi janji untuk menganjurkan sebuah kejohanan yang luar biasa dari negara-negara Arab. Ini memberi peluang kepada penduduk dunia untuk mengetahui kekayaan budaya kami dan asal-usul nilai pegangan kami.”
Bisht biasanya dipakai oleh kerabat diraja, ulama atau mana-mana individu berprofil tinggi di negara-negara Teluk, Iraq dan wilayah-wilayah utara Arab Saudi selama berkurun-kurun lamanya. Disebabkan ia merupakan pakaian bagi golongan kenamaan, kemahiran menghasilkan bisht dihasilkan oleh orang tertentu sahaja dengan kepakarannya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi lain.
Bisht dihasilkan daripada bulu dengan bisht yang paling mahal boleh diperbuat daripada bulu unta, llama atau biri-biri. Sulaman pula boleh dijumpai di bahagian kolar dan lengan di mana ia diperbuat daripada benang emas dan perak. Dengan mengambil kira semua ini, tidak hairanlah kenapa harga bisht boleh mencecah sehingga AS$9,000 (RM39,910)!