Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Jurulatih badminton para negara, Datuk Rashid Sidek mempamerkan perasaan terujanya dan terharunya dengan prestasi yang ditunjukkan oleh juara perseorangan badminton para negara, Cheah Liek Hou baru-baru ini.
Atlet ini menjadi watak penting buat kontinjen negara dalam usaha kontinjen negara mencapai sasaran untuk sekurang-kurangnya pulang dengan tiga pingat emas.
Ini sekaligus menjadi kenyataan apabila aksi berbisanya dalam gelanggang gagal disekat oleh seteru dari Indonesia.
Pada perlawanan final sebentar tadi, Liek Hou berdepan cabaran pemain nombor satu dunia dari Indonesia, Dheva Anrimusthi.
Perlawanan itu berlangsung dengan cukup sengit dengan kedua-dua pemain memburu mata demi mata. Set pertama dimenangi oleh Liek Hou 21-17.
Bersambung set kedua, Liek Hou terus fokus mengekalkan momentum bagi memastikan pingat emas miliknya. Helah demi helah yang tidak terjangkau dilakukan Liek Hou menyukarkan pihak lawan. Cheah Liek Hou akhirnya menang 21-15.
Beliau juga menjadi atlet badminton para pertama yang menjadi johan dalam acara tersebut.
Ketika ditanya mengenai Liek Hou, Rashid tanpa segan silu menjelaskan bahawa beliau amat menghargai segala tunjuk ajar yang telah diberikan.
‘Kalau saya bantu pemain seperti ini (pemain para), kebanyakan dari mereka lebih menghargai tunjuk ajar saya.’
‘Apabila kita dihargai, ia memberikan satu kepuasan sebagai jurulatih.’
Beliau turut menjelaskan bahawa wang bukanlah faktor utama beliau memilih untuk melatih pemain badminton para negara.
Tujuan utama beliau adalah untuk melihat sukan badminton negara berjaya mencapai kejuaraan di peringkat antarabangsa.
‘Lebih baik kita ajar mereka yang benar-benar mahu, lagi saya puas hati.’