Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Susulan insiden seorang pengadil Liga Futsal KL diserang seorang pemain baru-baru ini, pihak berkuasa telah melancarkan siasatan terhadap insiden tersebut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid memaklumkan polis telah menerima laporan kejadian tersebut daripada mangsa pada jam 12.12 tengah malam Khamis lepas.
“Suspek yang terlibat dalam kejadian itu telah dikenal pasti dan kes kini disiasat di bawah Sekyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini seperti dilaporkan Utusan TV.
Sebelum ini, satu video tular yang dikongsikan pengguna Facebook dipercayai isteri kepada pengadil berkenaan, Nnies Adniza mendedahkan insiden tersebut.
“Ada seribu rasa ingin diluah tapi kami berserah pada pihak lebih berkuasa untuk jatuh hukuman. Bukan kami takut untuk melawan tapi kami ada adab.
“Ya ALLAH hancur hati seorang isteri seorang anak bila ketua keluarga diperlakukan begitu. Apa hak anda nak tendang orang yang mencari rezeki. Kau dah salah tapi kau rasa hebat sangat. Jadi sekarang kau hadap la ya apa saja hukuman,” katanya.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Daerah Petaling Jaya di talian 03-79662222.