Piala Sudirman: Malaysia Tundukkan India

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Malaysia meneruskan kecemerlangan dalam Piala Sudirman 2023 apabila berjaya menundukkan India dalam perlawanan kedua Kumpulan C hari ini. Goh Jin Wei memastikan mata berharga bagi membolehkan kem badminton negara ceria di Suzhou, China.

Regu campuran Goh Soon Huat-Shevon Lai terlebih dahulu memulakan cabaran negara. Berdepan cabaran regu campuran India, Dhruv Kapila-Ashwini Ponnappa, regu negara tidak berdepan masalah mendapatkan kemenangan set pertama 21-16.

Set kedua menyaksikan Dhruv-Ashwini berusaha mengejar. Tetapi regu negara yang turut dikenali sebagai Candy Couple itu memastikan kemenangan milik mereka dengan kemenangan set kedua 21-17.

Perlawanan kedua Malaysia-India menyaksikan cabaran perseorangan lelaki membabitkan Lee Zii Jia dan Srikanth Kidambi. Set pertama menyaksikan kedua-duanya bersaing sengit tetapi anak jati Alor Setar, Kedah itu memastikan kemenangan 21-16.

Set kedua menyaksikan Srikanth melakukan banyak kesilapan dan tidak dapat mengejar Zii Jia. Set kedua berakhir dengan 21-11 sekaligus mata kedua buat kem negara.

Perlawanan ketiga disifatkan satu tugas berat buat perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei. Ini kerana lawannya, Pusarla V. Sidhu bukan calang-calang kerana pernah bergelar pemain wanita nombor satu dunia pada 2017.

Biarpun kini menduduki ranking ke-12 dunia, Pusarla menunjukkan kelasnya dengan menguasai set pertama menerusi kemenangan 21-14. Tetapi hasrat India mendapat kebangkitan semula menerusi wakil perseorangan wanita mereka itu punah apabila Jin Wei memenangi set kedua dengan kemenangan 21-10.

Ini menyaksikan perlawanan diheret ke rubber set. Kedua-duanya bersaing sengit dalam mendapatkan mata tetapi Jin Wei memastikan kemenangan negara dengan 22-20.

Dengan keputusan 3-0 ketika ini, kemenangan kedua Piala Sudirman 2023 berada dalam genggaman kem negara. Dan ia bertambah manis apabila Aaron Chia-Soh Wooi Yik menyumbang mata keempat dengan menewaskan Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty 21-18, 21-19.

Biarpun dipaksa bekerja keras dalam kedua-dua set, Aaron-Wooi Yik kekal tenang bagi memastikan kem Malaysia mendahului India dengan keputusan 4-0. Ketika ini, tinggal satu perlawanan membabitkan regu wanita iaitu Pearly Tan-M. Thinaah menentang regu wanita India, Treesa Jolly-Gayatri Gopichand.