Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Malaysia mencipta sensasi hari ini apabila berjaya mara ke separuh akhir Piala Sudirman 2023. Ini selepas kontinjen negara terpaksa bekerja keras sebelum menewaskan Denmark 3-1 di pentas suku akhir hari ini.
Perlawanan pertama menyaksikan regu campuran yang menduduki ranking ke-22 dunia, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menentang regu yang menduduki tangga ke-17 dunia, Mathias Christensen-Alexandra Boje. Walaupun hanya dipisahkan lima anak tangga dari segi ranking, dua regu ini mempamerkan aksi sengit di atas gelanggang.
Set pertama menyaksikan Tang Jie-Ee Wei tunduk dengan keputusan 15-21. Bagaimanapun, regu campuran negara itu bangkit dan memenangi dua set seterusnya dengan keputusan 21-14, 21-7.
Dengan kelebihan 1-0, ramai peminat di Pusat Sukan Olimpik Suzhou menjangkakan Malaysia bakal berdepan cabaran sukar mengutip mata kedua. Ini kerana Lee Zii Jia perlu berdepan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.
Tatkala kedua-duanya saling bersaing mendapatkan mata, Axelsen tiba-tiba memohon untuk menarik diri semasa keputusan set pertama terikat 4-4. Ini selepas beliau didapati mengalami kecederaan di bahagian kiri hamstringnya sekaligus memberikan mata kedua kepada Malaysia.
Dengan kelebihan 2-0 di hadapan, Denmark tahu peluang mereka untuk mara ke suku akhir bergantung kepada perseorangan wanita mereka, Mia Blichfeldt. Tetapi dengan Goh Jin Wei mahu memastikan mata ketiga milik Malaysia, dua perseorangan wanita ini bersaing sengit di atas gelanggang.
Set pertama menyaksikan Jin Wei tunduk dengan keputusan 21-15. Tetapi anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu bangkit mengikat kedudukan dengan memenangi set kedua 21-14.
Set ketiga menyaksikan Jin Wei dan Blichfeldt saling berlumba mendapatkan mata dengan satu ketika kedua-duanya terikat 19-19. Tetapi pada akhirnya, perseorangan wanita Denmark itu mendapatkan dua mata penting untuk kemenangan 21-19.
Dengan kedudukan 2-1 sekarang, Denmark mengharapkan gandingan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen untuk mengekang juara dunia regu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik. Dari segi ranking dunia, dua regu ini hanya dipisahkan tiga anak tangga dengan Aaron-Wooi Yik berstatus regu nombor dua dengan Astrup-Rasmussen (regu kelima dunia).
Set pertama menyaksikan dua regu lelaki itu bersaing sengit mendapatkan mata tetapi Aaron-Wooi Yik menang dengan keputusan 21-17. Set kedua menyaksikan Astrup-Rasmussen melakukan banyak kesilapan sehingga pada satu ketika, regu lelaki utama negara mendahului dengan keputusan 14-9.
Biarpun regu nombor lima dunia itu cuba mengejar, Aaron-Wooi Yik tenang meraih kemenangan set kedua dengan keputusan 21-16. Keputusan 3-1 ini membolehkan Malaysia layak ke separuh akhir buat kali ketiga dalam sejarah Piala Sudirman selepas edisi 2009 dan 2021.
Menanti Malaysia di separuh akhir ialah Korea Selatan selepas berjaya mengalahkan Taiwan 3-1 dalam satu lagi aksi suku akhir. Sekiranya berjaya menewaskan Korea Selatan dalam aksi separuh akhir esok, Malaysia bakal menanti Jepun atau China di pentas final.