Piala Sudirman: Malaysia Mudah ‘Titik’ Mesir

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Perlawanan kedua peringkat kumpulan bagi saingan Piala Sudirman malam ini mempertemukan Malaysia yang berdepan cabaran Mesir untuk meraih kemenangan kedua setelah menumpaskan England pada perlawanan pertama semalam.

Perlawanan pertama dimulakan dengan Peck Yen Wei dan Cheng Tan Jie yang berada pada kedudukan ke-49 dunia menentang cabaran daripada Ahmed Salah dan juga Ahmed Nour Yousrri.

Mereka dilihat tidak berdepan laluan yang sukar setelah lawan mereka sering kehilangan mata dan tidak begitu konsisten mengatur gerak. Set pertama dimenangi oleh beregu Malaysia dengan keputusan 21-6. Bersambung set kedua, beregu negara terus mempamerkan keampuhan dalam setiap gerak untuk terus meninggalkan lawan dengan cukup mudah setelah tidak diberikan saingan yang cukup sebelum menang dengan 21-7.

Pemain muda berusia 21 tahun, Ng Tze Yong yang berada pada ranking ke-91 bertemu Mohamed Mostafa Kamel juga tidak memiliki masalah untuk mengatasi cabaran lawannya.

Pada set pertama, beliau menewaskan lawan seusianya dengan keputusan 21-8 apabila berjaya memerangkap lawan untuk melakukan kesilapan mudah. Beliau terus bekerja keras untuk menamatkan saingan lebih awal dengan terus menekan pemain Mesir itu untuk menang dengan 21-2 sekaligus mengukuhkan kedudukan 2-0.

Perlawanan ketiga menyaksikan Malaysia terus mengekalkan rentak cemerlang apabila terus mencatat kemenangan mudah straight set 21-5 dan 21-7 menerusi pemain perseorangan negara, Eoon Qi Xuan yang menentang Doha Hany.

Sungguhpun menerima tentangan sengit pada awal babak permainan, ia tidak mematahkan semangat atlet muda negara untuk terus menekan bagi memperoleh kemenangan ketiga buat kontinjen negara. Ia bagaikan satu tonik yang memberikan semangat buat seluruh pasukan untuk meraih kemenangan demi kemenangan pada malam ini.

Perlawanan keempat pula dilihat sebagai pelengkap buat malam gemilang Malaysia yang terus mahu mengekalkan rentak yang baik menerusi gandingan Wei Chong dan Wun Tee. Kedua-dua anak jati Melaka ini berjaya menewaskan gandingan Mesir, Mustafa dan Salah dengan 21-7 dan 21-6.

Malaysia menutup saingan dalam perlawanan kedua Piala Sudirman ini menerusi regu wanita, Teoh Mei Xing dan Yap Ling yang mudah menewaskan lawan.

Ia menjadikan pasukan negara mencatat dua kemenangan bermakna bagi memastikan laluan ke peringkat seterusnya cerah apabila bakal melayan tentangan pesaing terhandal, Jepun bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Tahniah dan syabas skuad Malaysia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *