Permotoran: Hafizh Syahrin Minta Kerja Jadi Penghantar Makanan Di Era FM

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pelumba WorldSBK negara, Hafizh Syahrin Abdullah mencetuskan keriuhan dalam konti Era FM dua hari lepas. Ini selepas pelumba negara itu menyamar sebagai orang biasa yang memohon kerja sebgaai penghantar makanan di stesen radio berkenaan.

Era FM baru-baru ini mengeluarkan satu iklan kerja di laman media sosial mereka kepada pendengar yang berminat. Selain penghantar makanan, mereka juga turut mencari tukang urut dan pengendali akaun media sosial (gambar dan keterangan).

Sehari selepas itu, trio 3 Pagi Era bertanggungjawab menguruskan sesi temuduga pendengar yang berminat melalui panggilan telefon dalam slot mereka. Hafizh kemudiannya menghubungi mereka dan memberitahu dia boleh melakukannya sebagai penghantar makanan.

Walaupun sudah memberi pelbagai petunjuk tentang siapa dirinya, trio 3 Pagi Era iaitu Nabil, Radin dan Azad Jasmin gagal meneka identiti bekas pelumba MotoGP itu. Malah, mereka menyangka ini sekadar pemanggil yang mahu bergurau dengan mereka.

Tetapi selepas Hafizh memberi petunjuk di Eropah, orang memanggilnya H. Syahrin, barulah trio ini sedar identiti pemanggil mereka sebelum ketawa. Bila ditanya mengapa dia menghubungi 3 Pagi Era, Hafizh memberitahu mahu cari kerja kosong sebelum musim baru Kejohanan Superbike Dunia (WorldSBK) bermula.

Perlumbaan pertama kejohanan itu bakal diadakan di Phillip Island, Australia pada 25 dan 26 Februari ini.