Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Hasrat perseorangan utama badminton negara, Lee Zii Jia mara ke final Terbuka Australia 2023 tidak kesampaian apabila tewas kepada perseorangan China, Weng Hongyang dalam aksi separuh akhir.
Dengan beliau satu-satunya wakil negara yang tinggal selepas regu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik terkandas di suku akhir, ramai mengharapkan Zii Jia sekurang-kurangnya mara ke pentas final.
Hasrat itu mula terbantut apabila Hongyang memenangi set pertama 21-19 biarpun cuba diberi tentangan oleh anak jati Alor Setar, Kedah itu.
Zii Jia kemudiannya bangkit pada set kedua dan memastikan kemenangan set berkenaan dengan keputusan 21-13 sekaligus mengheret perlawanan ke rubber set.
Sebarang cubaan kebangkitan yang mahu dijelmakan beliau tidak berhasil. Hongyang tenang menguasai set ketiga dan memastikan kemenangan mutlak dengan keputusan 21-13.
Biarpun tewas, ini dilihat pencapaian terbaik Zii Jia di bawah bimbingan jurulatih Wong Tat Meng. Dan ini diharap dapat menjadi pemangkin kebangkitan yang membantunya layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.