Percaturan Nafuzi Zain Pertaruhkan Pemain Muda Membuahkan Hasil

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Sungguhpun hasrat pasukan Terengganu FC untuk memperbaiki pencapaian musim lalu tidak kesampaian, namun pretasi pasukan yang bergantung kepada rata-rata pemain muda semakin membuahkan hasil menjelang Piala Malaysia tidak lama lagi.

Pada musim ini, pasukan kendalian Nafuzi Zain itu berjaya meraih tempat keempat selepas terikat 2-2 sama dengan pasukan di tangga ketiga, Penang FC sekaligus menyaksikan mereka terpaksa berpuas hati dan tidak berpeluang untuk layak ke AFC menerusi pencapaian dalam liga.

Namun begitu, ia merupakan satu perkara yang amat membanggakan buat pasukan tersebut kerana kepercayaan yang diberikan oleh jurulatih terhadap barisan pemain muda jelas sudah mula memberi impak yang positif.

Menurut statistik, Terengganu berada di tangga pertama dalam liga sebagai pasukan yang menggunakan pemain muda paling kerap musim ini.

Terengganu mencatat 43.7 peratus menggunakan khdmat pemain tempatan bawah 23 tahun, diikuti oleh pasukan Perak dengan 37.5 peratus. Berdasarkan kesebelasan utama pasukan, pemain-pemain bawah 25 tahun sering diturunkan untuk mengetuai cabaran pasukan.

Bahkan, pada perlawanan ke-22 Liga Super, Terengganu berada di tangga kedua dengan purata umur terendah di belakang Selangor FC.

Twitter: OptaJ_Analytics

Di barisan pertahanan pasukan, kita dapat melihat kelibat pemain muda seperti Azam Azmi dan juga Azarul Nazarith yang saling bergilir mengisi posisi di bahagian kanan sambil posisi di pertahanan kiri diisi dengan cemerlang oleh Arif Fadzillah yang baru berusia 25 tahun. Hairiey Hakim juga diberi peluang untuk tampil memperoleh minit permainan.

Kecederaan Charlie De Murga juga telah membuka peluang untuk dua pertahanan muda pasukan iaitu Shahrul Nizam Roshasni dan juga Muhammad Faudzi beraksi dengan lebih kerap.

Di samping itu, Nafuzi juga menjadikan pemain sayap kanan pasukan, Faisal Halim sebagai tunjang utama pasukan. Pemain berusia 23 tahun ini beraksi dalam semua perlawanan bersama pasukan musim ini sekaligus menjadi antara pemain terbanyak melakukan penampilan.

Pemain kelahiran Pulau Pinang ini juga telah menjaringkan 4 gol dan berjaya membuat 4 bantuan gol.

Tidak lupa juga, pemain-pemain muda yang sering masuk sebagai pemain gantian seperti Hakimi Abdullah, Rahmat Makasuf dan juga Nik Akif Syahiran. Ketiga-tiga ini merupakan pemain yang berusia 23 tahun ke bawah.

Bukan itu sahaja, Hakimi juga merupakan penjaring terbanyak pemain tempatan di kelab tersebut. Pemain berusia 21 tahun ini telah menjaringkan 5 gol dan mencatat 1 bantuan gol.

Hakimi menamatkan musim berada di tangga kedua sebagai penjaring tempatan terbanyak di belakang pemain tengah berpengalaman, Baddrol Bakhtiar.

Ini sekaligus mencerminkan situasi pasukan yang sarat dengan pemain muda yang sangat berkualiti dan berpoteni. Tidak mustahil, pasukan yang sedang dibentuk mengikur acuan Nafuzi ini bakal menyinar untuk tempoh 2-3 musim akan datang.

Semoga pasukan Terengganu terus menempa kejayaan dalam saingan Piala Malaysia tidak lama lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *