Penyokong Tertarik Cara Jurulatih Perkukuh Psikologi & Mental Lee Zii Jia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Menjelang Kejohanan Badminton Dunia BWF yang diadakan di Copenhagen, Denmark tidak lama lagi, jurulatih Lee Zii Jia, Wong Tat Meng sibuk membantu memantapkan aspek mental anak buahnya itu.

Kelemahan mental dilihat menyumbang kepada Zii Jia terkandas dalam beberapa kejohanan BWF seperti Terbuka Malaysia, Terbuka India dan Terbuka Singapura.

Begitupun, anak jati Alor Setar, Kedah itu sudah mula mempamerkan kebangkitan di peringkat separuh akhir Terbuka Australia baru-baru ini. Justeru, Tat Meng memilih untuk tidak meletakkan tekanan ke atasnya bagi membolehkan dia beraksi lebih cemerlang selepas ini.

“Selepas tiga tournament (kejohanan), saya takkan buat apa-apa perubahan kerana program latihan dia (Zii Jia) masih baru. Dia masih menyesuaikan diri dengan corak latihan baru ini.

“Saya akan adjust sedikit sahaja. Kita ada banyak komunikasi selepas tournament (kejohanan) di Sydney, di Korea atau di Japan (Jepun). So, banyak mengenai pemikirannya dan psikologi dalam game.

“Dan ya, lihatlah nanti macam mana dia sesuaikan diri dengan situasi itu. Dia bukan seeded (bukan pemain pilihan) tetapi bukan Lee Zii Jia saja. Sapa yang ada seeded (status pemain pilihan) dan mau (mahu) jadi champion (juara), dia kena lawan semua player-player (pemain-pemain) yang lain.

“Kalau dia takde seeded, dia takkan rasa tekanan. Dia akan relax (tenang) dan enjoy (menikmati) the tournament (kejohanan). Kerana sebelum itu dia sudah berlatih di tournament (kejohanan) yang lain, dia sudah rasa ada banyak tekanan. Jadi, saya harap dia boleh atasi situasi itu,” katanya di akaun X rasmi Team LZJ.

Sebaik video tersebut dikongsikan di media sosial, ramai memuji pendekatan Tat Meng yang memberi penekanan kepada aspek mental perseorangan lelaki utama negara itu. Justeru, ramai berharap pendekatan ini membantu Zii Jia lebih berjaya selepas ini.