Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Semalam, aksi Piala Liga Thailand atau Piala Revo menyaksikan Ratchaburi mengatasi lawan mereka, Nongbua Pitchaya menerusi penentuan sepakan penalti selepas diikat 0-0. Di sebalik itu, ramai penyokong merasa puas hati dengan aksi ditampilkan pemain negara, Safawi Rasid.
Diturunkan dalam kesebelasan utama, pemain pinjaman JDT itu lincah membantu bahagian serangan The Dragons. Malah, Safawi hampir membuka jaringan perlawanan pada minit ke-45 tetapi tandukannya terkena palang.
Bagaimanapun, kesungguhan jentera serangan Ratchaburi digagalkan oleh ketangkasan penjaga gol Nongbua yang dipinjamkan dari Muangthong United, Peerapong Ruennin.
Walaupun dikeluarkan oleh jurulatih Xavi Moro pada minit ke-85, ramai penyokong tuan rumah berpuas hati dengan aksi ditampilkan bekas pemain Terengganu itu.
Dia bukan saja mencipta beberapa peluang untuk pasukan. Malah, Safawi juga kerap membuat larian atas padang bagi membantu Ratchaburi memburu gol pembukaan.
Jika penyerang negara ini menunjukkan persembahan konsisten sehingga akhir musim, maka yang beruntung sudah pastinya jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon terutama menjelang tempoh perlawanan antarabangsa sekitar Mac ini.