Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Sempena Piala Dunia 2022, masjid-masjid di seluruh Qatar menjadi tumpuan ramai pengunjung termasuk penyokong bola sepak. Ada yang pergi ke situ bagi mendengar penerangan tentang Islam dan negara Qatar. Ada juga yang pergi selepas tertarik dengan kemerduan laungan azan seperti yang berlaku kepada seorang penyokong Mexico baru-baru ini.
Beberapa hari lepas, seorang pengguna TikTok merakam video seorang penyokong Mexico berhenti seketika kerana asyik mendengar kemerduan laungan azan. Peristiwa ini berlaku di Masjid Lusail, Lusail, Qatar. Sebaik ia dimuatnaik di platform video pendek itu, ia mendapat lebih 400,000 like dan mengundang komen-komen positif individu yang menonton.
Disebabkan kehadiran mereka bersempena Piala Dunia 2022, Qatar berusaha mengikis imej negatif yang dilempar media Barat terhadap mereka. Ini termasuk mengatur para pendakwah dari seluruh dunia menerusi Pusat Tamu Qatar agar ditempatkan di masjid-masjid seluruh negara. Tujuannya ialah memberi penerangan dan memperbetulkan persepsi negatif terhadap Islam dan Qatar.
Usaha ini perlahan-lahan mula mengikis tanggapan negatif pengunjung luar terhadap Qatar. Salah satu daripadanya ialah pasangan Dorinel and Clara Popa dari Kanada. Dorinel, seorang akauntan, berkata, “Kita mempunyai prejudis terhadap budaya dan orang lain kerana kita tidak diberi pendedahan tentang budaya orang lain.”
Sementara isteri Dorinel, Clara, seorang doktor pula berkata, “Kami mempunyai persepsi sendiri dalam kepala dan sekarang, sesetengah persepsi kami telah berubah.” Usaha Qatar tidak sekadar meletakkan para pendakwah dan sukarelawan di masjid-masjid sekitar Qatar. Malah, mereka turut mengecat mural-mural hadis Rasulullah s.a.w di tempat-tempat strategik bagi memperlihat keindahan Islam kepada para penyokong luar.