Penyerang Thailand Umumkan Persaraan Pada Usia 25 Tahun

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hari ini, para penyokong bola sepak Thailand dikejutkan dengan berita pengumuman persaraan yang dibuat oleh penyerang skuad wanita kebangsaan mereka, Miranda Nild.

Pengumuman mengejut ini dibuat menerusi akaun Instagram Nild atau nama Thainya, Suchawadee Nildhamrong.

Catatannya di Instagram berbunyi, “Selepas merenung dan berfikir semasak-masaknya, saya mengambil keputusan untuk bersara daripada bermain sukan (bola sepak) yang indah.

“Saya berterima kasih kepada semua orang yang mengikuti saya sepanjang perjalanan ini. Terima kasih kepada setiap orang yang membimbing saya sepanjang perjalanan; saya mempunyai sistem sokongan yang paling istimewa.

“Kepada para penyokong Thailand, terima kasih atas rasa sayang dan penerimaan anda. Saya menganggap ia satu penghormatan untuk mewakili pasukan kebangsaan Thailand.”

Ramai tertanya-tanya apa sebab Nild memilih bersara daripada dunia bola sepak. Tetapi yang pasti, mereka berharap bekas penyerang berdarah Thai-Amerika Syarikat itu berjaya dalam apa saja yang dilakukannya selepas ini.

Nild merupakan sebahagian daripada skuad bola sepak wanita Gajah Perang yang menjulang Piala Wanita AFF 2018. Dia juga menjadi sebahagian daripada skuad yang layak ke Piala Dunia Wanita 2019.