Pengendali Thailand Dilantik Bimbing Skuad Futsal Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas Chiew Chun Yong meletak jawatan sebagai jurulatih futsal Malaysia, ramai ingin tahu siapa yang bakal mengisi kerusi panas tersebut. Selepas empat bulan, Pengerusi Jawatankuasa Futsal & Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Rosmadi Ismail bakal melantik seorang jurulatih Thailand sebagai pengganti Chun Yong.

Perkara ini didedahkan oleh wartawan sukan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi hari ini. Dan difahamkan ada tiga nama yang sedang dipertimbang FAM sebelum lantikan akan dibuat secara rasmi pada Ogos ini.

Antara nama yang dipertimbangkan FAM ialah Rakhpol Sainetngam, Udom Taveesuk dan Suksan Sangsri.

Tidak kira siapa yang dilantik, tugas pertama mereka ialah mempersiapkan skuad futsal negara untuk kelayakan Futsal Piala Asia 2024 yang akan berlangsung di Uzbekistan pada 7-11 Oktober ini.

“Sehingga hari ini, kita telah pun membuat pencarian jurulatih baru untuk menggantikan Coach Yong dan kita telah ada senarai pendeknya. Dan Insya Allah bila keputusan akan dibuat, kita akan maklumkan dalam masa terdekat.

“Jadi mungkin Insya Allah dalam bulan Ogos ini, kita akan umumkan kerana pada bulan Oktober kita ada kelayakan Futsal Piala Asia. Jadi pada bulan Ogos, kita akan umum dan kita akan buat persiapan yang rapi untuk menghadapi kelayakan Piala Asia.

“Namanya mungkin tak sebesar mana tetapi pengalaman dan pencapaian beliau boleh tahan. Insya Allah kita akan ambil ilmu yang dia ada untuk kita terapkan dalam (skuad) futsal kita,” kata Rosmadi kepada Nadi Arena.

Malaysia ditempatkan dalam Kumpulan G bersama Uzbekistan, Iraq dan Kemboja. Justeru, Rosmadi mengharapkan magis jurulatih baru ini mampu menjadikan skuad futsal negara lebih ampuh menjelang aksi kelayakan nanti.