Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Atlet badminton professional negara, Chan Peng Soon semalam mengumumkan beliau dan pasangan regunya, Goh Liu Ying tidak lagi akan bersama untuk kejohanan badminton yang akan datang.
Menurut Peng Soon, kejohanan di Bali tempoh hari merupakan aksi terakhirnya bersama Goh Liu Ying. Beliau akan mengambil masa untuk berehat sebelum kembali semula ke kejohanan badminton tahun hadapan.
Atlet berusia 33 tahun itu menjelaskan bahawa mereka berdua telah membuat keputusan untuk membawa haluan masing-masing. Tambah Peng Soon, ia merupakan satu keputusan yang sukar namun inilah yang terbaik untuk ketika ini.
“Sudah 13 tahun selalu ada dia teman pergi pertandingan, latihan bersama-sama. Tapi lepas ini saya fikir ia sudah tidak akan berlaku. Liu Ying tak akan teman saya jadi saya turut sebak dengan keputusan ini.”
Pemain yang berusia 33 tahun itu turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Goh Liu Ying atas segala jasanya ketika bersama.
“Terima kasih Liu Ying sebab bukan mudah kita bergandingan selama 13 tahun. Saya lihat dia dari kecederaan, dia dapat tahan sampai sekarang. Itupun sangat susah sebenarnya untuk tahan rasa sakit. Jadi terima kasih banyak Liu Ying 13 tahun dengan saya,” jelas Peng Soon kepada Astro Arena.
Sementara itu, Peng Soon menjelaskan bahawa beliau akan meneruskan kariernya sebagai pemain badminton dan belum membuat keputusan untuk bersara.
“Saya masih akan bermain, akan teruskan karier sebagai pemain badminton.”