Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Bekas Pengarah Pembangunan Remaja Perseorangan BAM, Datuk Misbun Sidek mendedahkan bahawa beliau sebenarnya diberhentikan oleh badan induk itu dan bukan secara persetujuan bersama seperti dinyatakan sebelum ini.
“Tujuan press conference (sidang media) ini ialah untuk saya memperbetulkan kenyataan iaitu di mana saya telah bersetuju dengan keputusan yang diberikan (BAM).
“Padahalnya, tidak. Saya tidak diberitahu, saya hanya diberitahu untuk ikut keputusan yang telah dibuat. Sebenarnya, itu tak betul dan sebenarnya saya tak setuju dengan keputusan ini,” katanya sambil ditemani adiknya yang juga legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek.
Dalam sidang media yang sama, legenda badminton negara itu mendakwa khidmatnya ditamatkan tanpa diberi peluang untuk mempertahankan diri.
Walaupun menerima keputusan tersebut, Misbun merasa terkilan kerana tidak dapat membantu anak-anak buahnya bersedia ke Kejohanan Remaja Dunia yang bakal berlangsung dalam beberapa bulan saja lagi.
“Sebab masa mesyuarat tempoh hari, saya dipanggil dan dimaklumkan bahawa ‘saya tidak lagi perlu datang kerja esok’ dan diberhenti serta-merta atas alasan tidak berjaya.
“Rasa terkilan dan kecewa. Sekarang tiada sebarang pembelaan yang saya boleh buat. Apa salahnya jika mereka bagi saya peluang teruskan hingga ke Kejohanan Dunia. Tinggal beberapa bulan lagi. Tapi saya tak diberi peluang untuk bercakap dan runding,” tambahnya.
Misbun pernah melahirkan beberapa pemain negara berstatus pemain nombor satu dunia seperti Roslin Hashim, Wong Choon Han dan Lee Chong Wei.