Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Beberapa minggu lepas, kecoh laman media sosial berkenaan komen seorang pemain hoki wanita negara yang berbaur perkauman semasa konsert artis Bollywood, AR Rahman. Hari ini, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memutuskan pemain terbabit, Hanis Nadiah Onn digantung daripada menyertai semua tugasan antarabangsa termasuk Sukan SEA Kemboja 2023.
Keputusan tersebut dicapai oleh KHM dan Jawatankuasa Siasatan Majlis Sukan Negara (MSN) dalam mesyuarat pada 7 Februari lalu. Ini didedahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam satu kenyataan media hari ini.
Kenyataan tersebut berbunyi, “Jawatankuasa mendapati Hanis telah bersalah sebagai individu kerana membuat kenyataan atau komen secara terbuka di akaun media sosial miliknya yang menjurus kepada menghina, mengutuk atau mencaci sesuatu pihak lain.
“Hanis juga didapati bersalah kerana ciapan komen yang boleh disalah erti atau menimbulkan salah faham, kegusaran ataupun kemarahan sesuatu pihak lain dan sebagai pemain hoki negara, Hanis didapati bersalah kerana telah membuat komen yang mengakibatkan kerosakan kepada imej pasukan dan KHM yang jelas melanggar kod etika KHM
“Pihak KHM akan menilai semula keputusan ini sekiranya Hanis mempamerkan perubahan sikap yang positif sepanjang tempoh tersebut.”
Jawatankuasa Siasatan yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal telah memanggil Hanis dan jurulatih pasukan hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim untuk memberi keterangan.
Jawatankuasa Siasatan mendapati komen yang dibuat Hanis merujuk kepada suasana dalam konsert dan tiada niat berunsur perkauman. Dia hanya menyedarinya selepas ditegur oleh warganet sebelum memadamkan hantarannya itu pada 29 Januari lalu.
Selain memadamkan hantarannya, Hanis juga telah memohon maaf atas keterlanjurannya itu dan menegaskan dirinya bukan seorang yang rasis.
Perwatakannya turut disokong oleh Mohd Nasihin yang melihat anak buahnya itu sebagai berdisiplin, merendah diri semasa dalam latihan dan kejohanan serta mempunyai rakan-rakan bukan Melayu ekoran sifatnya yang mudah mesra.
“Jawatankuasa berharap tindakan itu akan menjadi ingatan dan pengajaran berguna kepada Hanis serta semua atlet negara untuk sentiasa berhati-hati dengan sebarang hantaran ataupun ciapan di semua platform media sosial,” tambah KBS lagi.