Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Penyerang import Terengganu FC II, Jordan Mintah melaungkan keyakinan untuk mengakhiri kempen kali ini sebagai penjaring terbanyak sekaligus membantu pasukan meraih keputusan yang positif.
Perlawanan terkahir bakal menyaksikan pertembungan menentang Kelantan United FC (KUFC) yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu.
Sehingga kini, Mintah yang kini meledak 16 gol bersaing hebat dengan penyerang Johor Darul Ta’zim II (JDT II), Fernando Rodriguez yang juga turut berada di tangga pertama sekaligus menghangatkan lagi persaingan kali ini.
Beliau turut menyedari cabaran tersebut namun yakin usaha untuk membantu pasukan adalah misi utama buat dirinya.
‘Ini tahun kedua saya bersama TFC II, jadi sudah tentu impian saya begitu tinggi untuk memburu gelaran penjaring terbanyak Liga Perdana musim ini walaupun sedar bakal bersaing hebat dengan penyerang JDT II.’
‘Namun saya melihat ianya menjadi satu rahmat buat saya kerana anugerah ini merupakan impian bagi seorang penyerang dan saya sentiasa berdoa untuk itu selain memastikan kejayaan pasukan saya, apapun saya berserah namun pada masa sama akan berusaha untuk memburu gelaran itu,’-Jelas beliau kepada Arena Metro.
Pemain kelahiran Ghana ini telah merakam hatrik ketika pasukannya menumpaskan skuad KUFC 4-1 pada aksi pusingan pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Mei lalu.
Malah penyerang berusia 26 tahun itu juga sudah meledak empat jaringan ketika membantu pasukan dalam aksi Liga Super.
Ketika ini, pasukan Terengganu FC II berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 35 mata, hanya 3 mata dipisahkan dengan pendahulu liga, Negeri Sembilan FC.