Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Jurulatih Pemegang rekod kebangsaan bagi acara 100 meter (m), Muhammad Amir Izwan Tan Abdullah yakin dengan kemampuan Muhammad Azeem Fahmi untuk terus mengekalkan rentak cemerlang.
Beliau menjelaskan bahawa persembahan konsisten pelumba itu menjadi aset terbaik buatnya untuk terus memperbaiki rekod sedia ada.
Walau bagaimanapun, Azeem kini dalam usaha untuk memecahkan rekod 200m pula selepas tampil cemerlang dalam perlumbaan 100m.
“Sekiranya kita lihat persembahan Azeem pada kejohanan Piala Cabaran Olahraga di Niigata, Jepun (semalam) boleh dikatakan agak baik jika diambil kira dengan kejohanan yang dia sertai tahun ini.”
Sungguhpun hanya berakhir di tempat kelima, Amir melihat potensi cerah yang mampu dicapai oleh pelumba berusia 18 tahun itu.
“Sekiranya beliau boleh kekalkan catatan masa yang dilakukan ketika ini, saya tidak menolak kemungkinan dia mungkin boleh pecah rekod kebangsaan acara 200m.”
“Itu harapan saya. Kalau dizinkan Allah, saya rasa tiada mustahil buat Azeem,” katanya kepada Arena Metro.
Azeem menamatkan larian di tempat kelima dengan catatan masa 20.98s dan berjaya mencapai sasarannya untuk mendapatkan catatan di bawah 21 saat dalam setiap kejohanan.
Catatan terbaik Azeem bagi acara 200m ialah 20.83s dalam Kejohanan Olahraga Remaja Dunia 2022 di Cali, Colombia pada Ogos lalu.