Pelakon Popular Dedah Pemain JDT Memang Teman Istimewa

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pelakon popular, Eyka Farhana mengakui sedang menjalin hubungan istimewa dengan pemain sayap Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Akhyar Rashid.

Pelakon berusia 28 tahun itu sedang meniti fasa bahagia bersama bekas pemain sayap Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu. Malah, kedua-duanya saling menyokong perjalanan karier masing-masing.

“Kami sudah berkawan hampir lima tahun. Orang bertanya kenapa saya nak sorok-sorok (hubungan dengan Akhyar). Tapi apabila sudah tunjuk, kena cakap-cakap pula.

“Jadi sekarang, apa yang saya rasa nak kongsi, saya kongsilah. Hubungan kami pun macam biasa. Alhamdulillah, dia pun sangat beri sokongan saya berada dalam industri,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Bila ditanya tentang soal perkahwinan, Eyka mengakui perkara tersebut masih belum terlintas dalam fikirannya. Begitupun, beliau tidak menolak sekiranya ada jodoh dengan Akhyar.

“Banyak lagi saya ingin capai dalam hidup sebenarnya. Tapi kalau memang sudah jodoh dengan seseorang itu, nak tolak macam mana pun, tetap nak kahwin juga. Sekarang tak adalah bincang nak ke fasa serius kerana belum masa sesuai,” tambahnya.

Akhyar ketika ini bersama Harimau Malaya untuk tugasan antarabangsa menentang Syria dan China pada 6 dan 9 September ini. Sementara Eyka pula kini sibuk mempromosikan filem terbarunya, Anak Perjanjian Syaitan 2.