Pearly Tan-Thinaah Cipta Rekod Rali Terpanjang Di Dunia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Kem badminton Malaysia ceria apabila empat wakil negara termasuk termasuk Pearly Tan-M. Thinaah. berjaya mara ke suku akhir Malaysia Masters 2023. Tetapi kejayaan Pearly-Thinaah lebih menakjubkan kerana ia merekodkan rali badminton terpanjang di dunia dengan durasi tiga minit 35 saat.

Regu wanita utama negara itu bekerja keras mengatasi regu wanita Jepun, Rena Miyaura-Ayako Sakuramoto dengan keputusan 21-17, 18-21, 21-19. Tetapi di set ketigalah dua regu ini menunjukkan kemahiran dan keazaman dalam mendapatkan mata.

Ketika Pearly-Thinaah mendahului 16-14, bermulalah rali panjang antara kedua-dua regu. Kedua-duanya mencipta 211 pukulan dalam satu rali sekaligus rekod baru dunia untuk rali badminton terpanjang.

Ini sekaligus mengatasi rekod rali 195 pukulan yang dicipta dalam separuh akhir regu wanita Terbuka Korea tahun lepas. Rekod ini dicipta dalam perlawanan membabitkan Baek Ha-na-Lee Yu-rim (Korea Selatan) dengan Du Yue-Li Wen Mei (China).

Perlawanan tersebut menyaksikan kedua-duanya mencipta 195 pukulan semasa Ha-na-Yu-rim mendahului 9-7. Pada akhirnya, regu wanita Korea Selatan itu memenangi perlawanan separuh akhir itu dengan keputusan 21-18, 19-21, 21-16.

Keazaman Pearly-Thinaah dan Miyaura-Sakuramoto untuk mendapatkan mata memukau penonton baik di Axiata Arena mahupun di kaca televisyen. Walaupun ia dianggap tiga minit 35 saat paling mendebarkan buat pilihan keenam kejohanan itu, pada akhirnya Pearly-Thinaah berjaya meraih mata berharga pada akhir rali.

Sebaik video rali ini dimuatnaik di media sosial terutama di Astro Arena, ramai pengguna media sosial merasa takjub dan memuji kesungguhan yang ditampilkan Pearly-Thinaah. Ini termasuk beberapa personaliti sukan terkenal tanah air seperti Safee Sali, Intan Serah dan Fariha Razak.