Pearly Tan Cipta Rekod Baru Dunia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan mencipta sejarah tersendiri sebagai pemegang rekod pukulan badminton paling pantas di dunia untuk kategori wanita.

Menurut syarikat pengeluar peralatan badminton, Yonex, Pearly mencipta Guinness World Records dengan membuat pukulan selaju 438 km sejam.

Rekod tersebut dicipta pada 14 April 2023 dan disahkan oleh barisan hakim Guinness World Records berdasarkan pengiraan kelajuan bulu tangkis pada hari itu.

Selain Pearly, pemain beregu lelaki India, Satwiksairaj Rankireddy turut memecahkan rekod pukulan badminton paling pantas di dunia untuk kategori lelaki.

Bezanya ialah beliau memecahkan rekod sedekad yang dicipta bekas pemain beregu lelaki Malaysia, Tan Boon Heong pada tahun 2013.

Rankireddy membuat pukulan selaju 565 km sejam, jauh mengatasi rekod lama Boon Heong iaitu 493 km sejam.

Kesemua rekod ini dicipta dalam suasana terkawal di gimnasium kilang Yonex di Soka, Saitama, Jepun.