Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Semua mengetahui status Datuk Lee Chong Wei sebagai legenda badminton negara. Justeru, tidak hairanlah patung lilin beliau bakal ditempatkan di Madame Tussauds Hong Kong agar menjadi tatapan pengunjung yang ingin mengetahui kehebatannya semasa bergelar pemain.
Patung lilin ini yang disiapkan pada Oktober tahun lepas ketika ini dipamerkan di Madame Tussauds Singapura sebelum dibawa ke Malaysia pada 3 Mac lalu. Ia kemudiannya menjadi bahan pameran kekal Madame Tussauds Hong Kong pada 18 Mac ini.
Dalam upacara memperkenalkan patung lilin tersebut, Chong Wei kelihatan tersentuh sebelum mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang banyak membantunya sebagai pemain dalam tempoh 19 tahun.
“Saya perlu berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya BAM. Tiada BAM, tiada Chong Wei. BAM sentiasa bersama saya daripada saya tiada apa-apa sehinggalah saya ada sesuatu (pelbagai kejayaan yang diraihnya). Saya akui perjalanan kerjaya saya seperti ‘roller coaster’.
“Paling saya ingat adalah ketika untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016 yang mana saya berdepan kes doping, ranking saya jatuh ke-182 tetapi dengan sokongan semua pihak terutamanya BAM, saya dapat kembali sebagai pemain nombor satu dunia dalam tempoh 11 bulan,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh melihat kejayaan Chong Wei mampu memberi inspirasi kepada atlet-atlet generasi baru untuk melakar kejayaan lebih cemerlang di peringkat antarabangsa.
“Saya amat gembira Madame Tussauds Hong Kong akan mempamerkan patung lilin Chong Wei yang merupakan figura kebanggaan negara kita. Kementerian saya amat komited dalam mengetengahkan potensi sukan negara kita,” katanya.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria.