Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dalam satu temu bual wartawan Astro Arena Fina Nasrom bersama jurulatih lompat jauh paralimpik negara, Shahrul Amri berkata beliau mengharapkan Abdul Latif Romly berjaya mempertahankan pingat emas.
Beliau turut menyatakan bahawa barisan kejurulatihan negara sudah memberi sepenuh tenaga untuk mempersiapkan atlet negara sebelum mereka turun di gelanggang kejohanan. Shahrul menambah, beliau tidak akan memberi sebarang tekanan kepada anak buahnya untuk bersaing esok hari.
“Semua mengharapkan yang terbaik, apatah lagi jurulatih. Sekarang ini terpulang kepada Latif untuk memperagakan aksi cemerlang memberi lompatan terbaik sekaligus mempertahankan pingat emas.”
Shahrul Amri turut menyasarkan Latif dapat melakukan lompatan terbaik, jaraknya lebih dari apa yang pernah Latif lakukan ketika di Rio 2016.
Abdul Latif Romly akan beraksi dalam acara Lompat Jauh Lelaki, T20 Final pada jam 6.00 petang waktu Malaysia. Semoga Latif dapat memperagakan aksi cemerlang dan berjaya membawa pulang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ayuh rakyat Malaysia, zahirkan sokongan anda buat atlet negara. Selamat maju jaya dan terbang Latif terbang!