Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Atlet berbasikal trek para negara, Muhammad Hafiz Jamali dan juga Zuhairi Ahmad Tarmizi cemerlang menjulang nama negara di Tokyo dalam pusingan akhir acara 1000m Lelaki Ujian Masa.
Dalam saingan yang berlangsung pada jam 1 petang itu, kedua-dua pelumba turun dengan penuh motivasi untuk sekurang-kurangnya mempamerkan aksi yang sangat berintensiti tinggi.
Hafiz dilihat cukup bersedia untuk bersaing dalam kejohanan ini apabila kayuhan dan pecutan yang dilakukannya berjaya memberi cabaran kepada pelumba-pelumba lain.
Namun begitu, rezeki tidak memihak kepada pelumba berusia 30 tahun itu apabila sekadar menghabiskan saingan di tempat ke-19 dengan cacatan masa 1:11.288.

Seorang lagi pelumba negara iaitu Zuhairi kelihatan tenang ketika memulakan saingan. Bekas pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur ini sekali lagi menampilkan persembahan yang cukup memukau.
Pelumba berusia 31 tahun ini sememangnya memanfaatkan pengalaman yang dimilikinya apabila tidak melepaskan peluang untuk merebut tempat terbaik dalam saingan kali ini.
Beliau berjaya menghabiskan kayuhan di tempat ke-10 dengan catatan masa 1:06.472. Tahniah buat kedua-dua atlet negara. Terus semangat, Malaysia !