Pantang Dicabar, Perenang Lelaki Bakal Sertai Acara Renang Irama Di Olimpik

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Dalam acara renang di Sukan Olimpik, perenang lelaki boleh menyertai semua acara renang kecuali renang irama. Tetapi buat pertama kalinya, renang irama lelaki bakal dipertandingkan dalam Sukan Olimpik bermula pada temasya 2024 di Paris, Perancis.

World Aquatics dalam satu kenyataan menyifatkan kelulusan tersebut sebagai merealisasikan impian yang dianggap mustahil selama ini. FINA menambah untuk temasya di Paris, setiap pasukan renang irama dianggotai lapan orang dengan dua daripadanya dianggotai perenang lelaki. 10 pasukan akan bersaing merebut pingat untuk acara tersebut.

Renang irama atau nama rasminya renang artistik sudah dipertandingkan di Sukan Olimpik sejak 1984. Walaupun perenang lelaki dibenarkan menyertai renang irama di Kejohanan Akuatik Dunia sejak 2015, mereka tidak dibenarkan menyertai acara tersebut di Sukan Olimpik.

Bagi juara dunia pertama acara renang irama duet campuran Bill May dari Amerika Syarikat, ia masih lagi sukar dipercayai. “Kemasukan lelaki dalam renang artistik Olimpik selama ini dianggap sesuatu yang mustahil.

“Tetapi ini membuktikan bahawa kita harus bercita-cita besar. Atlet-atlet lelaki telah menunjukkan ketabahan. Sekarang, melalui kesungguhan, bantuan dan sokongan ramai pihak, semua atlet boleh berdiri bersama-sama sama rata dan mencapai kejayaan Olimpik,” katanya.