Pahang Rangers Sambar Dua Bintang Import Berbisa

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas kehilangan dua tonggak utama, Pahang Rangers tidak berlengah dalam memperkuat kesebelasan utama mereka. Ini dibuktikan menerusi dua pemain import baru mereka, Matheus Gonzalez (Brazil) dan Amin Nasrollah Zadeh (Iran).

Kehadiran dua pemain import itu diumumkan menerusi laman media sosial rasmi Pahang Rangers.

Zadeh, 32, merupakan bekas pemain futsal kebangsaan Iran. Walaupun sudah mencecah usia 30-an, dia amat lincah sebagai Ala dan mempunyai rembatan kaki kanan yang kuat.

Bagi Gonzalez atau nama sebenarnya Matheus Augusto de Oliveira Gonzalez, 23, dia berupaya beraksi di posisi Pivot dan Ala.

Walaupun tidak pernah dipanggil menyertai pasukan futsal kebangsaan Brazil, ini bukan bermakna dia patut dipandang sepi oleh lawan. Ini kerana Gonzalez mempunyai kemahiran individu yang baik dan berupaya melepaskan rembatan deras ke arah gol.

Ini dibuktikan dengan dua gol yang dijaringkannya dalam dua aksi persahabatan Pahang Rangers dengan ATM dan KL City baru-baru ini.

Walaupun kehilangan Mohd Awalluddin Mat Nawi dan Abu Haniffa Hasan kepada JDT, skuad bimbingan Gerard Casas Ullastre itu mempunyai ramai pemain hebat seperti Ridzwan Bakri, Saiful Nizam Mohd Ali dan Muhammad Farhan Khairul Anuar.