Nur Dhabitah & Jiggy Masin Sah Bergelar Suami Isteri

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hari ini, peminat sukan terjun negara dikejutkan dengan berita perkahwinan penerjun negara, Nur Dhabitah Sabri dengan pelakon, pelawak dan pengacara Jiggy Masin. Jiggy sah bergelar suami Dhabitah dalam satu majlis pernikahan yang dihadiri keluarga pasangan mempelai pada Jumaat lalu.

Hal itu turut disahkan oleh pelawak itu semasa dihubungi Gempak hari ini. Jiggy atau nama sebenarnya Mohamad Aizat Ahmad Nazri menyatakan bukan niat dia dan Dhabitah mahu merahsiakan hal ini. Sebaliknya, mereka mencari peluang yang sesuai untuk mendedahkan berita baik berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan sekali lafaz saya sah menjadi suami kepada Nur Dhabitah pada Jumaat lalu. Majlis akad nikah diadakan secara tertutup, dihadiri 150 ahli keluarga sahaja.

“Jujurnya, kami tiada niat nak sorok, hanya lebih kepada menjaga amanah keluarga untuk tidak mengumumkan apa-apa selagi hubungan belum sah.

“Saya nak minta maaf kepada rakan media sebab sebelum ini saya tak respons soalan mengenai kami sebab seperti yang saya katakan, nak jaga janji dan amanah keluarga,” katanya kepada Gempak hari ini.

Dalam temubual sama, Jiggy mendedahkan kedua-duanya mula berkawan sekitar tahun lepas selepas bertemu dalam satu sesi fotografi. Sejak itu, gosip hubungan cinta pelawak itu dengan Dhabitah bertiup kencang tetapi kedua-duanya bijak menyimpan rahsia agar tidak dihidu oleh media.

“Saya dan Dhabitah dah kenal lebih kurang setahun lebih juga lah. Mula-mula kami berkawan saja sebab jumpa masa sesi fotografi sama-sama.

“Kemudian kebetulan ada penggambaran program sama-sama. Jadi, dari situ macam rapat tapi memang tak ada plan nak kahwin ke waktu itu. Tapi, Alhamdulillah jodoh kami,” tambahnya.

Pasangan ini ada membuat perancangan untuk mengadakan majlis resepsi. Bagaimanapun, tarikh majlis tersebut masih belum ditetapkan lebih-lebih lagi Dhabitah sendiri sibuk membuat persiapan untuk Sukan Asia 2023 di Hangzhou, China dan Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

“Majlis buat dekat rumah Dhabitah. Insya-Allah resepsi ada tapi masih dalam perbincangan sebab dua-dua sibuk dan Dhabitah pun ada kejohanan besar akan datang termasuk Sukan Asia dan Sukan Olimpik.

“Dia kena pergi China dalam sebulan untuk sesi latihan. Tapi bila ada tarikh, Insya-Allah saya beritahu untuk jemput kawan-kawan media,” ujarnya.