Nova Sedia Pelan Khas Tingkatkan Mutu Badminton Malaysia

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas diumumkan sebagai ketua jurulatih beregu campuran negara, Nova Widianto sedar cabaran bagi menaikkan tahap pemain-pemain beregu campuran negara bukan sesuatu yang mudah. Tetapi bekas juara dunia itu mempunyai pelan khas tersendiri untuk merealisasikan potensi mereka.

Ketika ini, regu-regu campuran utama negara merupakan pemain-pemain profesional. Mereka ialah Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (ranking kelima dunia), Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (ranking kesembilan dunia) dan Chan Peng Soon-Cheah Yee See (ranking ke-44 dunia).

Sementara BAM mempunyai dua regu campuran muda iaitu Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (ranking ke-157) dan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing (ranking ke-169). BAM berharap sentuhan magis Nova dapat membantu dua regu ini layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Ironinya, cabaran sama dihadapi beliau semasa bergelar jurulatih regu campuran Indonesia. Pada Januari lepas, regu campuran utama Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia (PBSI) iaitu Praveen Jordan-Debby Susanto telah memilih haluan sebagai pemain profesional. Dengan juara Olimpik Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir bersara pada 2019, ini memaksa Nova memberi fokus kepada regu-regu campuran muda Indonesia.

“Ia merupakan satu cabaran besar kepada saya kerana saya perlu bekerja dengan regu-regu muda di mana ranking dunia mereka rendah. Walaupun ia satu tugas sukar, saya yakin dapat membimbing sekurang-kurangnya satu regu BAM ke Sukan Olimpik. Tetapi sekiranya Tang Jie-Ee Wei dan Pang Ron-Mei Xing bekerja keras dan percaya dengan kebolehan mereka, ia boleh dicapai.

“Sudah tentu, saya mahu melihat dua regu ini berpeluang layak ke Olimpik tetapi kita juga harus realistik kerana mereka hanya mempunyai tempoh setahun setengah untuk mencapai kedudukan 10 regu terbaik. Kita juga harus mengambil kira dua regu bebas sedang menunjukkan prestasi baik dan berada di kedudukan 10 teratas.

“Pastinya mereka juga akan memburu dua tempat kelayakan ke Sukan Olimpik yang diperuntukkan untuk sesebuah negara. Situasi ini hampir sama dengan situasi di PBSI di mana kami perlu melatih regu-regu muda selama setahun lebih. Ini bukan benda baru bagi saya,” katanya.

Kelibat dua regu campuran muda ini sudah mula menunjukkan potensi mereka sebagai pemenang. Tang Jie-Ee Wei segar daripada kejayaan menjulang Cabaran Antarabangsa Bangladesh di Dhaka dua minggu lepas. Manakala Pang Ron-Mei Xing pula menjulang Cabaran Antarabangsa Malaysia pada Ahad lepas.

“Ini merupakan kali pertama saya berlatih di luar Indonesia dan saya akan bekerja keras bagi menaikkan tahap bukan saja dua regu utama tetapi regu-regu campuran lain kerana kita mempunyai ramai pemain untuk regu campuran.

“Dua regu ini (Tang Jie-Ee Wei dan Pang Ron-Mei Xing) mempunyai potensi untuk pergi lebih jauh. Mereka telah memenangi Cabaran Antarabangsa Bangladesh dan Malaysia serta meraih keputusan baik dengan pasangan regu yang lain,” tambahnya.