Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemain perseorangan badminton negara, Ng Tze Yong mempamerkan aksi yang cukup meyakinkan untuk menewaskan pemain dari Korea Selatan, Kim Donghun dengan keputusan 21-14 dan 21-19 dalam Kejohanan Badminton Terbuka Korea 2022 di Stadium Palma, Suncheon, hari ini.
Kedua-dua pemain beraksi dengan cukup baik dalam set pertama apabila serangan demi serangan dilakukan untuk terus memungut mata.
Namun begitu, ketenangan dan ketangkasan wakil muda negara ini untuk membaca gerakan lawan dengan baik selain kawalan gelanggang yang cemerlang menyukarkan misi wakil Korea itu.
Beliau akhirnya terpaksa akur dengan kehebatan Ng Tze Yong apabila tewas set pertama dengan keputusan 21-14.
Perlawanan set kedua berlangsung dengan cukup sengit setelah Kim Donghun dilihat mahu menebus semula kehampaan pada set pertama.
Beliau mula mengatur gerak dengan cukup baik selain beberapa smashnya juga gagal diangkat dengan kemas oleh Ng Tze Yong.
Walau bagaimanapun, ketenangan dan kematangan yang dipamerkan oleh atlet negara ini akhirnya berbaloi apabila beliau menang tipis 21-19 pada set kedua.
Kemenangan ini penting dalam memastikan beliau terus mara untuk membawa cabaran negara.