Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Pemain tengah bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Natxo Insa menjadi watak penting buat pasukan itu untuk mengekalkan kejuaraan Liga Super buat kali kelapan berturut-turut.
Sungguhpun beliau telah mencecah usia 35 tahun pada bulan Jun lalu, ketenangan, visi dan juga kebijaksanaan beliau untuk mengawal jentera tengah JDT memang sukar digugat.
Natxo memberi kestabilan kepada jentera tengah pasukan terutamanya apabila bergandingan dengan pemain tengah yang gemar naik ke atas atau bertindak sebagai pemain ‘box-to-box’ seperti Leandro Velasquez dan juga Afiq Fazail.
Pada saingan Liga Super musim ini, pemain kacukan Malaysia-Sepanyol ini tampil sebanyak 18 perlawanan dalam liga dan juga 5 kali dalam pentas Liga Juara-Juara Asia (ACL).
Pemain yang pernah berkelana di Sepanyol ini nyata sarat dengan pengalaman yang dimanfaatkan dengan sebaiknya untuk membantu pasukan meraih mata demi mata.
Beliau memiliki ketenangan dan kawalan bola yang baik untuk memastikan pasukan kekal memegang bola dalam tempoh yang lebih lama.
Malah, rekod gawang gol JDT dibolosi juga merupakan yang paling rendah pada musim ini. Pasukan kendalian Benjamin Mora hanya bolos 8 kali sahaja sepanjang 21 perlawanan sementara Farizal Marlias gah sebagai penjaga gol dengan catatan tidak bolos terbanyak musim ini.
Selain itu, beliau juga telah menjaringkan satu gol dan mencatat satu bantuan gol sungguhpun beraksi lebih ke bawah untuk mengawal bahagian pertahanan JDT dan memberi lebih perlindungan kepada dua pertahanan tengah pasukan.
Ini juga menimbulkan tanda tanya para penyokong mengenai kemunculan Natxo bersama Harimau Malaya setelah beraksi dengan cukup cemerlang bersama Harimau Selatan.