MPFL: Selangor Pecah Rekod, Bantai KL City 13-1

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas melihat skuad futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) membelasah Kuala Lumpur 12-1, ramai peminat Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) menjangkakan rekod tersebut tidak akan dipecahkan lagi. Tetapi hari ini, giliran Selangor pula mencipta rekod jaringan lebih besar iaitu 13-1 ke atas KL City.

Sepak mula permainan menyaksikan Merah Kuning ketinggalan terlebih dahulu menerusi gol sendiri Aidil Shahril Rosli pada minit kedua. Tetapi Aidil Shahril dan pemain import Iran, Ali Ebrahimi memastikan Selangor kembali mendahului KL City 2-1 dalam tempoh seminit.

Dari situ, Gergasi Merah tidak menoleh ke belakang Faris Johan, Matheus Vasconcelos Silva dan Azamuddin Hasan menjadikan kedudukan 5-1 menerusi gol pada minit keenam, ketujuh dan kelapan.

KL City makin hilang punca apabila dibolosi pada minit ke-14, ke-16, ke-22, ke-23, ke-25 dan ke-27. Kesemua gol dijaringkan oleh Aidil Shahrin, Ebrahimi, Azamuddin dan Syed Aizad Daniel Syed Nasir,

Dengan keputusan 11-1 semasa rehat, anak-anak buah Edgar Eder Baldasso boleh saja mengurangkan tekanan kepada lawan yang sudah lemah itu. Tetapi sebaliknya, dua lagi gol dijaringkan masing-masing oleh Silva (minit ke-33) dan Syed Aizad (minit ke-40). Keputusan 13-1 ini kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini melonjakkan Selangor sebagai pendahulu Kumpulan B MPFL dengan 18 mata, tiga mata di hadapan JDT.