MPFL: JDT Mudah Bantai Selangor Tot

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Pasukan futsal Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali merampas kedudukan pendahulu Kumpulan B Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL). Ini selepas Harimau Selatan berhempas-pulas menewaskan Selangor Tot United 5-4 di Stadium Tertutup Pasir Gudang hari ini.

Sebaik sepak mula, kedua-dua pasukan mula melancarkan serangan bagi mencari gol pembukaan. Dalam tempoh dua minit, JDT dan Selangor Tot terikat 1-1 selepas Abu Haniffa Hasan (minit keenam) dan Muhammad Akmal Hakimi Mohd Naim (minit ketujuh) menjaringkan gol untuk pasukan masing-masing.

Selangor Tot kemudiannya mendahului menerusi Yazid Kamaruzuan seminit selepas itu. JDT kemudiannya kembali mengejar menerusi Azri Rahman (minit ke-16) tetapi Selangor Tot kembali di hadapan menerusi Yazid pada minit ke-18.

Tetapi kegembiraan kem pelawat tidak bertahan lama apabila Harimau Selatan membolosi gawang yang dikawal Mohd Alif Haiqal Mohd Zaini. Dua gol menerusi gol sendiri Neto Antonio Massanori Hirata (minit ke-17) dan Ekmal Hassan (minit ke-24) memastikan JDT mendahului 4-3.

Pemain kebangsaan Mohamad Awaluddin Mat Nawi memastikan kemenangan Harimau Selatan menerusi gol pada minit ke-28. Keputusan 5-3 kekal sehingga rehat.

Biarpun Selangor Tot merapatkan kedudukan menerusi Yazid pada minit ke-38, tuan rumah memastikan kemenangan 5-4 diraih di hadapan penyokong mereka. Dengan keputusan ini, JDT mengetuai Kumpulan B dengan 21 mata. Sementara Selangor Tot pula di tangga ketiga dengan 17 mata.