Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Selepas dikecewakan Selangor TOT United pada minggu lepas, Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit mengalahkan Selangor MAC 4-1 di Kompleks Sukan Panasonic, Shah Alam hari ini.
Harimau Selatan yang dibimbing Juan Antonio Miguel Garcia tampil garang pada separuh masa pertama. Melihat lawan sebagai mangsa lepas geram, Abu Haniffa Hasan meledakkan gol pertama JDT pada minit ke-12.
Selangor MAC terus ketinggalan apabila Abdolrahman Sarani melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol lawan, Syawal Sabaruddin pada minit ke-18. Walaupun cuba bangkit, Selangor MAC ketinggalan 0-2 sehingga rehat.
Selepas rehat, Selangor MAC merapatkan kedudukan menerusi pemain import dari Iran, Ali Ebrahimi pada minit ke-21. Gol tersebut bagaimanapun menyemarakkan semangat anak-anak buah Miguel Garcia untuk memburu gol tambahan.
Dan hasilnya, pemain import Brazil, Garcia Rego terus melebarkan jurang kelebihan JDT menerusi gol pada minit ke-39. Saad Sani melengkapkan malam gemilang JDT dengan gol keempat pada minit ke-40.
Kemenangan ini membolehkan Harimau Selatan berkongsi mata sama dengan Selangor TOT United iaitu enam mata dari tiga perlawanan mereka dalam Kumpulan B MPFL. Tetapi itu boleh saja berubah sekiranya Selangor TOT United mencatat kemenangan ke atas Shah Alam City esok.