MPFL: Barisan Bintang JDT Tumbang Kepada Selangor Tot United

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Status pasukan bintang yang dimiliki Johor Darul Ta’zim (JDT) langsung tidak menggentarkan Selangor Tot United. Malah, ia dilihat menjadi pembakar semangat pasukan itu apabila berjaya menumbangkan pasukan selatan tanah air itu dengan keputusan 3-1.

Sebaik sepak mula, anak-anak buah Juan Antonio Miguel Garcia tampil garang mengasak kubu Selangor TOT United. Hasilnya, mereka mendahului menerusi Awaluddin Mat Nawi pada minit ke-12.

Tersentak, TOT United bangkit dan mula mengasak Harimau Selatan. Kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila Wan Raziq Wan Zulhasmi menyamakan kedudukan pada minit ke-27.

Ini disusuli dua gol yang membolosi gawang JDT dalam tempoh dua minit. Dua gol tersebut masing-masing disumbang oleh Joshua Lee (minit ke-31) dan Helio Neto (minit ke-32). Keputusan 3-1 ini kekal sehingga tamat perlawanan.

Kekalahan ini dilihat satu peringatan buat Miguel Garcia dan anak-anak buahnya bahawa usaha mendominasi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) musim ini penuh berliku dan menjanjikan kejutan.

Bagi Selangor TOT United pula, kemenangan ini menebus kehampaan tewas kepada KL City pada minggu lepas.