Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Aksi pemain badminton negara di Terbuka Malaysia 2023 baru-baru ini mengecewakan ramai pihak. Dan bagi CEO Akademi Badminton Malaysia (ABM), Michelle Chai, pemain-pemain seolah lupa menjadi wakil negara di kejohanan antarabangsa merupakan satu keistimewaan dan bukan beban.
Daripada semua wakil negara yang bertanding, hanya dua saja yang berjaya mara ke peringkat suku akhir. Mereka ialah regu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan regu lelaki Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.
Tang Jie-Ee Wei juga merupakan wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) yang paling cemerlang dalam kejohanan sebelum tewas kepada regu campuran Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di peringkat suku akhir.
Tetapi prestasi regu lelaki Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan regu wanita Pearly Tan-M. Thinaah yang dianggap paling mengecewakan.
Berstatus juara dunia, Aaron-Wooi Yik tewas kepada regu nombor enam dunia dari China, Liu Yuchen-Ou Xuanyi di pusingan kedua. Sementara Pearly-Thinaah pula dikecewakan regu wanita Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva di pusingan pertama.
Bagi Michelle, prestasi longlai yang dipamerkan dalam kejohanan tersebut sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima.
“Kita tahu Aaron-Wooi Yik dan Pearly-Thinaah berupaya menghasilkan persembahan yang lebih baik. Jadi, selain keputusan perlawanan, kita kecewa kerana mereka tidak beraksi pada tahap terbaik terutama di hadapan penyokong sendiri.
“Pemain tidak sepatutnya dibebankan dengan tekanan mewakili negara dan bersaing di gelanggang sendiri tetapi sebaliknya, menganggap ia sebagai satu keistimewaan,” katanya.
Justeru, Michelle menyeru kepada para pemain untuk mencari semula minat dan keseronokan mereka bermain badminton untuk bangkit semula.
“Pemain-pemain seperti Aaron-Wooi Yik perlu ingat sebab mereka mengambil sukan ini kerana rasa cinta terhadapnya. Bila mereka bermain badminton pada usia enam atau tujuh tahun, mereka benar-benar menyukainya.
“Sekarang, mereka perlu mencari semula keseronokan tersebut. Pada masa sama, mereka (Aaron-Wooi Yik) patut merasa diberi penghormatan dan bangga bila beraksi kerana mereka merupakan juara dunia pertama dari Malaysia,” tambahnya.