Mengapa Stadium 974 Dimusnahkan Sejurus Tamat Piala Dunia?

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Selepas tamatnya perlawanan pusingan kalah mati Piala Dunia 2022 membabitkan Brazil dan Korea Selatan pada 5 Disember lepas, maka tamatlah sudah riwayat Stadium 974. Stadium yang terletak di Ras Abu Aboud, Doha, Qatar itu kini dalam proses untuk dileraikan sebelum dihantar ke negara lain yang lebih memerlukan stadium.

Stadium yang direka oleh Fenwick Iribarren Architects itu dengan tujuan mengelakkan ia daripada menjadi projek gajah putih. Projek gajah putih ini merujuk kepada stadium-stadium Piala Dunia di Afrika Selatan, Brazil dan Rusia yang tidak lagi digunakan selepas tamat penganjuran edisi-edisi Piala Dunia sebelumnya.

Stadium 974 turut mencipta sejarah sebagai stadium sementara pertama dalam sejarah Piala Dunia. Reka bentuk stadium yang berbentuk modular dan mengintegrasikan 974 kontena kapal ini mendapat pujian ramai pakar termasuk Karim Elgendy, bekas perunding iklim Piala Dunia yang kini menjadi felo di Chatham House.

Elgendy dalam satu kenyataan berkata, “Reka bentuk untuk peleraian adalah salah satu prinsip utama bangunan yang berkekalan. Ia membolehkan pemulihan semula jadi tapak bangunan atau penggunaan semulanya untuk fungsi lain.”

Keadaan Stadium 974 sebelum ia mula dileraikan. Gambar: Manu Heredia

Stadium 974 atau nama lainnya Stadium Ras Abu Aboud diberi nama sedemikian bersempena 974 buah kontena kapal yang digunakan untuk stadium berkenaan dan kod dail antarabangsa Qatar. Ia juga satu-satunya stadium di Qatar yang tidak dilengkapi penghawa dingin.

Difahamkan stadium sementara ini pada awalnya akan dihantar ke Afrika. Tetapi satu laporan mendedahkan ia mungkin akan dihantar ke Uruguay. Sekiranya itu berlaku, tidak mustahil stadium sementara ini akan dicanang sebagai stadium baru sekiranya bidaan empat negara Amerika Selatan iaitu Uruguay, Argentina, Chile dan Paraguay untuk hak tuan rumah Piala Dunia 2030 diterima.