Memorial Cup: Skuad Muda Malaysia Tewas Tipis Kepada Okinawa

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hasrat skuad wanita Malaysia Bawah 17 Tahun (B-17) melakar kemenangan dalam Memorial Cup tidak kesampaian hari ini. Ini selepas anak-anak buah Petronella Douny tewas 2-1 kepada Okinawa FC dalam perlawanan terakhir Kumpulan A.

Malayan Tigress bagaimanapun mendahului seawal minit ke-11 menerusi Adlin Bandi. Bagaimanapun, gawang anak-anak buah Douny dibolosi menerusi Natsuri Tengan pada minit ke-21.

Skuad wanita B-17 berharap dapat mengekalkan kedudukan 1-1 sehingga rehat. Tetapi Tengan memastikan Okinawa meraih kemenangan menerusi gol pada minit ke-45.

Anak-anak buah Douny berusaha memburu gol penyamaan pada separuh masa kedua. Tetapi keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini sekaligus menyaksikan Malaysia tersingkir dari Memorial Cup selepas tewas kepada Vietnam 3-0 dalam perlawanan pertama kumpulan dua hari lepas.

Biarpun tersingkir, ia dilihat satu pengalaman berguna buat skuad wanita B-17 negara. Dan ini sudah pasti akan diperhalusi oleh Ketua Unit Wanita merangkap jurulatih skuad senior Malayan Tigress, Soleen Al-Zoubi bagi membentuk skuad yang lebih mantap.