Memakmurkan Kesihatan Atas Jalan Kemerdekaan

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.


Pada tanggal 31 Ogos 2021, Malaysia mengekalkan kemakmurannya bersempena sambutan hari kemerdekaan ke 64 yang menjadi kebanggaan buat seluruh rakyatnya. Kemakmuran ini tidak akan tercapai sekiranya kesihatan fizikal dan mental rakyat tidak dijaga dengan baik. Tambahan pula, pandemik COVID-19 yang terpaksa dihadapi oleh rakyat dengan tekanan ekonomi yang amat meruncing pada hari ini sedikit sebanyak memberikan masalah terutamanya kepada kesihatan mental seseorang.

Bukan itu sahaja, kemakmuran yang diidamkan juga bertitik tolak daripada kesihatan individu. Malah, sesetengah individu berisiko tinggi untuk mengalami masalah kesihatan mental seperti kemurungan terutamanya ketika berada di dalam keadaan stress yang melampau dan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai. Sekiranya kemurungan ini gagal dicegah dan dirawat dengan baik, ianya boleh meningkatkan risiko tingkah laku yang tidak bermoral seperti bunuh diri dan sebagainya.

Menurut sumber daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), terdapat peningkatan dalam kes bunuh diri yang dilaporkan pada tahun 2020 iaitu sebanyak 631 kes berbanding 609 kes pada tahun sebelumnya. Sehingga Mac 2021, sejumlah 336 kes bunuh diri telah dilaporkan kepada PDRM secara keseluruhannya.

Sungguhpun begitu, menurut panduan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), terdapat beberapa faktor yang menjadikan seseorang terdedah dengan tekanan mental. Antaranya termasuklah corak asuhan seseorang, tahap pendidikan, agama dan budaya hidup, pengaruh persekitaran (rakan sebaya, guru-guru), keistimewaan, kelemahan dan pencapaian seseorang serta kesihatan fizikal.

Berdasarkan kepada faktor kesihatan fizikal, ia menekankan tentang penjagaan mental dan fizikal pada musim pandemik dengan mengaplikasikan aktiviti riadah dalam komuniti masyarakat.

Aktiviti bersukan dapat membantu seseorang untuk mengekalkan tahap kesihatan tubuh badan di samping dapat mengurangkan tekanan emosi dan mental. Hal ini dikatakan demikian kerana, aktiviti riadah yang dilakukan oleh seseorang dapat merangsang emosi supaya kekal tenang dan stabil. Namun begitu, pada musim pandemik kali ini, aktiviti riadah dan sukan yang boleh dilakukan adalah sangat terhad dan perlu kepada pematuhan SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam usaha mengekalkan kesihatan yang baik di samping mencegah penularan wabak. Aktiviti yang melibatkan sentuhan seperti bola sepak, bola keranjang dan sebagainya adalah tidak dibenarkan.

Pada hari ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah memberi kelonggaran kepada beberapa aktiviti riadah yang tidak melibatkan sentuhan dengan pematuhan SOP secara ketat. Menyambut baik seruan daripada kerajaan, Ultra Sukan menyeru seluru rakyat Malaysia untuk bersukan mengikut ketetapan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan. Terdapat beberapa riadah dan sukan yang mudah untuk dilakukan secara bersendirian di kawasan perumahan. Antaranya termasuklah aktiviti kendiri, skipping, membina badan, bercucuk tanam, berjoging dan sebagainya.

Setiap aktiviti yang dilakukan perlulah patuh kepada SOP yang telah ditetapkan berdasarkan apa yang telah dikeluarkan oleh MKN. Sebagai contoh, apabila berbasikal dan berjoging, cukuplah melakukan aktiviti tersebut secara bersendirian ataupun bersama pasangan. Elakkan beriadah di tempat-tempat yang mempunyai pengudaraan yang kurang baik kerana virus lebih mudah untuk merebak. Sukan-sukan yang melibatkan sentuhan seperti bola sepak boleh dimainkan secara bersendirian ataupun berdua selagi mana aktiviti tersebut tidak melibatkan perkumpulan yang ramai.

Terdapat juga beberapa perkara yang boleh dilalukan bagi menjaga kesihatan fizikal dan mental selain beriadah dan bersukan. Antaranya :

  1. Berkongsi kebimbangan dan masalah dengan orang lain. Anda mungkin merasa lega selepas berkongsi masalah yang anda hadapi.

2. Bertanya kepada doktor anda tentang perkara-perkara yang anda tidak pasti tentang penyakit.

3. Imbangi keperluan kehidupan anda dengan halangan akibat penyakit dan ketahuilah tahap kemampuan diranda.

4. Amalkan pemakanan yang seimbang dan sihat. Hilang selera makan akibat kemurungan boleh merumitkan kesihatan mental.

5. Melakukan senaman sebagai aktiviti harian.

6. Amalkan pengambilan ubat-ubatan mengikut nasihat doktor.

Kesimpulannya, setiap individu perlulah bersama-sama menjaga kesihatan diri disamping meneruskan perjuangan melawan wabak Covid-19. Berdoalah agar tuhan mengangkat kembali wabak ini agar rakyat dapat menikmati semula kehidupan yang normal.

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN KALI KE 64.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *