Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Susulan pelbagai kontroversi yang membelenggu Piala AFF 2022 baru-baru ini, ramai berharap pembantu pengadil video (VAR) diperkenalkan bukan saja di Piala AFF tetapi juga di Malaysia. Terbaru, parti MCA menggesa VAR digunakan untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
Gesaan ini dibuat menerusi jurucakap sayap pemuda parti tersebut, Ryan Ho Kwok Xheng dalam satu hantaran media sosial beberapa hari lepas. Dia melihat dengan VAR, ia dapat menolak bola sepak Malaysia ke satu tahap lebih tinggi.
“Justeru, kita berharap penggunaan teknologi VAR ini boleh dipercapatkan serta diperluaskan bagi merangkumi semua perlawanan bola sepak di Malaysia, baik yang melibatkan FAM, mahupun AFF (Persekutuan Bola Sepak Asean),” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, FAM menerusi presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin mengesahkan VAR bakal diperkenalkan di Malaysia bermula musim 2023. Ini selepas berita ini didedahkan oleh pemilik JDT, DYAM Tunku Ismail Idris ibni Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, ia tidak akan digunakan secara menyeluruh dan hanya terpakai kepada perlawanan-perlawanan penting seperti suku akhir, separuh akhir dan final Piala FA dan Piala Malaysia.
Dijangkakan FAM dan MFL bakal berkongsi kos untuk pembiayaan VAR bagi membolehkan ia dapat digunakan dalam saingan Liga Malaysia.