Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Susulan konsert artis Taiwan terkenal, Jay Chou bakal diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), ia mengurangkan kapasiti SNBJ kepada 59,000 orang. Dan itu menggembirakan jurulatih Thailand, Mano Polking menjelang aksi separuh akhir pertama Piala AFF 2022 membabitkan Malaysia dan Thailand yang berlangsung esok.
Ini kerana bagi bekas jurulatih Bangkok United itu, ia sekurang-kurangnya mengurangkan bilangan penyokong tuan rumah yang bertandang ke SNBJ. Gajah Perang mahu mencari bekalan selesa di SNBJ sebelum perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Thammarat.
“Kami bertuah kerana Malaysia mengadakan konsert di sini (Bukit Jalil). Jadi stadium tidak akan penuh seperti kebiasaan,” jelasnya.
Namun begitu, itu bukan bermakna Thailand patut selesa dengan status sebagai pasukan pilihan. Ini kerana Harimau Malaya yang dibimbing Kim Pan-gon akan memberi tentangan sengit ditambah dengan sokongan padu penyokong tempatan.
“Kami datang dan mahu kawal bola, mahu menguasai permainan dan menyerap tekanan, jadi perancangan pasukan dapat dilaksanakan,” ujarnya.
Thailand yang juga juara bertahan Piala AFF mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi pada edisi sebelumnya. Tetapi dengan Malaysia meningkat naik di bawah bimbingan Pan-gon, perlawanan separuh akhir pertama esok pastinya menjanjikan perlawanan menarik untuk kedua-dua pasukan.