Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Skuad hoki negara meraih keputusan positif pada jelajah Eropah apabila mencatat kemenangan 4-2 ke atas Perancis semalam.
Malaysia berjaya mempamerkan aksi yang diharapkan pada perlawanan persahabatan yang berlangsung di Kelab Hoki Waterloo Ducks, Belgium semalam.
Kedua-dua pasukan bermula dengan cukup baik namun dua jaringan yang disudahkan dengan cukup sempurna oleh Muhammad Razie Abd. Rahim dan satu jaringan menerusi Muhammad Aminuddin Mohd. Zain dan Muhamad Ramadan Rosli cukup untuk menoktahkan kemenangan.
4 gol penting itu sudah cukup untuk memastikan skuad kendalian Arul Selvaraj mengatasi lawan dengan keputusan 4-2 sekaligus menjadi detik kebangkitan susulan dibedil 0-7 oleh Belgium minggu lalu.
Menurut satu kenyataan oleh ketua jurulatih, Arul Selvaraj, beliau akui banyak perkara yang perlu diperbaiki menjelang Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022.
“Dari segi statistik, Perancis menguasai 53 peratus permainan selain mendapat 16 pukulan sudut penalti (PC) dan menghasilkan dua gol.”
“Malaysia pula mendapat enam PC dan menjaringkan tiga gol, jadi PC kita jauh lebih bagus.”
Beliau juga mengakui pasukannya mendapat banyak pengalaman baharu selepas tewas kepada pasukan utama Belgium tempoh hari.
“Bertemu dengan Perancis (semalam), kita dapat apa yang kita mahukan iaitu kemenangan.”
“Pasukan bermain dengan rentak yang agak tinggi dan penuh bertenaga apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol,” ujar Arul.
Skuad negara dijangka akan tiba Sabtu ini sebelum kembali menjalani latihan sebagai persiapan menjelang Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah 2022 pada 1 hingga 10 November depan.