Malaysia Terlepas Peluang Bergelar Juara Dunia, Tewas Bermaruah Kepada Mesir

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Impian Malaysia menggondol gelaran juara dunia untuk sukan dodgeball tidak kesampaian. Ini selepas pasukan dodgeball lelaki tewas kepada tuan rumah dalam Piala Dunia Dodgeball Mesir 2022 yang berlangsung dari 13 hingga 18 Disember lepas.

Walaupun gagal bergelar juara, pasukan dodgeball lelaki menunjukkan prestasi mantap dengan mara ke pentas final. Pasukan dodgeball campuran juga turut memperbaiki pencapaian mereka dengan mara ke pentas final kategori campuran. Lebih membanggakan, pasukan dodgeball wanita yang dibentuk saat akhir dan membuat kemunculan pertama di Piala Dunia Dodgeball Mesir 2022 berjaya merekodkan pencapaian tempat keempat.

Bagi Presiden Persekutuan Dodgeball Malaysia (MDF), pencapaian yang dilakar kontinjen negara di Kaherah amat membanggakan negara. Dalam satu kenyataan di Facebook, beliau berkata, “Belum rezeki Malaysia untuk jadi juara! Malaysia kalah dengan Mesir di final lelaki dan campuran. Tempat ketiga untuk Lelaki Bawah 21 Tahun. Tempat keempat untuk Wanita dan Wanita Bawah 21 Tahun.

“Untuk ikut rekod, Malaysia mengekalkan kedudukan untuk pasukan lelaki berada di final. Pasukan campuran memperbaiki kedudukan dengan memasuki final. Begitu juga pasukan wanita yang mana sebelum ini berada di kedudukan kelima. Tetapi kali ini, mereka sangat bagus.

Kedua-dua pasukan Lelaki dan Wanita Bawah 21 Tahun juga bermain dengan baik dan bagus sekali . Pasukan Wanita Bawah 21 Tahun bermain dengan enam orang pemain tanpa pemain gantian. Ini disebabkan pasukan ini kita wujudkan pada saat akhir . Dan ini adalah Piala Dunia pertama untuk mereka.

Apapun, mereka adalah juara di hati saya dan saya kira mereka adalah juara kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya peminat-peminat sukan dodgeball. Laluan yang sukar!! Tetapi mereka mampu bertahan dan berjuang sehingga ke akhirnya.

Kepada semua pemain Malaysia, tahniah! Kerana anda telah berjuang sehingga ke akhirnya, saya melihat sendiri kehebatan anda semua. Kita lalui jalan yang sukar dari mula latihan sehingga ke Piala Dunia. Kita hanya mampu berlatih 6 bulan akibat PKP berbanding mereka berlatih empat tahun tanpa henti . Ketahuilah, anda sememangnya telah menjadi juara buat kami semua. Jangan putus asa .. teruskan perjuangan anda di masa hadapan. Come back stronger!!”