Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Dengan pasukan bola sepak lelaki Malaysia menunjukkan peningkatan di bawah bimbingan Kim Pan-gon, ramai penyokong mengharapkan bola sepak wanita menunjukkan kebangkitan. Itu yang cuba direalisasikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan menjadikan Liga Wanita Nasional (LWN) lebih kompetitif pada tahun hadapan.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM, Datuk Suraya Yaakob, LWN yang diperkenalkan pada tahun ini bakal ditambahbaik menerusi penggunaan format timbal balik selaras dengan ketetapan FIFA. 12 pasukan bakal bertanding dalam LWN dengan 22 perlawanan, jumlah sama perlawanan yang diharungi pasukan-pasukan Liga Super.
“Inilah masanya untuk ia dilaksanakan, walaupun mungkin berdepan pelbagai kekurangan, kita perlu mulakannya bagi perkembangan bola sepak wanita,” katanya dalam sidang media pengenalan ketua jurulatih skuad bola sepak wanita kebangsaan yang baru, Soleen Al-Zou’bi di Wisma FAM semalam.
Tambah Suraya lagi, dengan menjadikan LWN lebih kompetitif, ia sebenarnya menambah bakat-bakat baru yang boleh diserap dalam pasukan kebangsaan. Hal tersebut turut dikongsi oleh Soleen yang melihat penaiktarafan LWN membantu mereka mengenalpasti bakat-bakat baru yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi.
“Saya mempunyai rancangan jangka pendek dan panjang untuk memperkasakan bola sepak wanita. Pelan jangka pendek adalah untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain menyertai pertandingan. Pelan jangka panjang pula adalah untuk melahirkan pemain berkualiti mewakili seluruh negara,” katanya.