Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Semalam, skuad hoki Malaysia bukan saja layak ke final Trofi Juara-Juara Asia buat kali pertama dalam sejarah kejohanan. Malah, ranking The Speedy Tigers juga bertambah baik dengan skuad negara kini menduduki ranking kesembilan dunia.
Ini berdasarkan kemaskini terbaru yang dibuat Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) beberapa jam sebelum aksi separuh akhir Malaysia semalam. Ia turut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Bazly Azmi.
Malaysia ketika ini mengumpul 2020.41 mata, sedikit di hadapan Korea Selatan yang mengumpul 2006.17 mata. Walaupun sedikit, itu cukup untuk The Speedy Tigers memintas dan meletakkan gergasi Asia Timur itu di kedudukan ke-10 dunia.
Belanda, Belgium dan England terus unggul berada di kedudukan tiga pasukan terbaik dunia FIH. Tetapi kedudukan ini boleh saja berubah sekiranya India muncul juara Trofi Juara-Juara Asia 2023.
Ini kerana England dan India hanya dipisahkan satu mata dari segi mata ranking. Dengan India bakal menjadi lawan Malaysia pada aksi final malam ini, Men in Blue bukan saja mahu menjulang trofi di hadapan para penyokong mereka.
Malah, ini boleh saja membantu anak-anak buah Craig Fulton memintas England sebagai pasukan ketiga terbaik di dunia.
Walau apa pun keputusan final malam ini, The Speedy Tigers telah membuktikan kemampuan mereka sebagai antara pasukan 10 teratas dunia.