Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.
Kem badminton Malaysia ceria apabila satu daripada dua regu yang beraksi di separuh akhir Malaysia Masters 2023 berjaya mara ke final. Regu yang dimaksudkan ialah regu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah.
Pearly-Thinaah yang berstatus pilihan keenam kejohanan berjaya mengalahkan regu Korea Selatan yang juga pilihan kelima Malaysia Masters, Jeong Na-eun-Kim Hye-jeong.
Set pertama menyaksikan kedua-dua regu wanita berkenaan bersaing sengit mendapatkan mata. Tetapi Pearly-Thinaah berjaya memenangi set pertama dengan keputusan 21-19.
Set kedua menyaksikan Na-eun-Hye-jeong cuba bangkit dan mengheret perlawanan ke deuce. Di sebalik usaha mereka itu, Pearly-Thinaah tenang menewaskan regu Korea Selatan itu dengan keputusan 23-21.
Kemenangan ini melayakkan mereka ke pentas final Malaysia Masters 2023. Pearly-Thinaah bakal berdepan satu lagi regu Korea Selatan, Baek Ha-na-Lee So-hee.
Kini, kem negara mengharapkan regu muda lelaki Man Wei Chong-Tee Kai Wun mampu mengatasi Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin dari Indonesia dalam aksi separuh akhir beregu lelaki. Tetapi dengan kejayaan menumpaskan regu yang digelar Daddies iaitu Muhammad Ahsan-Hendra Setiawan semalam, ramai berharap Wei Chong-Kai Wun mampu mengikut jejak Pearly-Thinaah.