Malaysia Masters: Hasrat Pearly Tan & M. Thinaah Bergelar Juara Tertangguh

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Hasrat kem badminton Malaysia melihat Pearly Tan-M. Thinaah bergelar juara Malaysia Masters 2023 tidak kesampaian hari ini. Ini selepas regu wanita utama negara itu tunduk kepada regu wanita Korea Selatan, Baek Ha-na- Lee So-Hee.

Set pertama menyaksikan saingan seimbang kedua-dua regu dengan pada satu ketika, Pearly-Thinaah mendahului 20-17. Namun begitu, Ha-na-So-Hee berjaya mengejar dan mengikat kedudukan 20-20.

Dengan kedudukan deuce, Ha-na-So-hee memastikan kemenangan set pertama mereka dengan keputusan 22-20. Tetapi pada set kedua, Pearly-Thinaah bangkit memenangi set kedua dengan 21-8.

Set ketiga menyaksikan Pearly-Thinaah pada awalnya mendahului 10-4. Tetapi kesilapan demi kesilapan yang dilakukan mereka membolehkan regu wanita Korea Selatan itu mengejar sebelum memenangi set ketiga 21-17.

Walaupun kalah, Pearly-Thinaah telah membanggakan nama negara dengan menampilkan semangat juang yang tinggi di atas gelanggang. Dan ini diharap mampu menjadi pembakar semangat untuk mengejar kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Kini, satu-satunya sandaran Malaysia yang tinggal untuk menjulang Malaysia Masters 2023 digalas regu muda, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk acara regu lelaki. Acara mereka dijangka bermula selepas tamat final perseorangan lelaki.