Malaysia Mahu Buat Persediaan Terbaik Hadapi Belanda

Dapatkan kemas kini lebih pantas di Telegram UltraSukan.

Malaysia bakal berdepan tugas berat menentang Belanda pada perlawanan pertama Kumpulan C Piala Dunia Hoki 2023 pada 14 Januari ini. Tetapi bagi jurulatih penjaga gol S. Kumar, hal itu tidak sepatutnya menggusarkan pasukan hoki negara.

Kumar sudah masak dengan kemampuan pasukan gergasi Eropah itu. Malah, dia juga pernah beraksi dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia edisi 2018 menentang Belanda dengan Speedy Tigers dibelasah 7-0.

Tetapi walaupun berdepan tugas berat pada 14 Januari ini, Kumar percaya pemain-pemain yang dipilih dapat mempamerkan permainan terbaik menentang skuad Oranje itu.

“Apabila bermain menentang Belanda, kita tidak boleh fikir ‘alamak, kita akan bertemu dengan Belanda’. Tak boleh ada mentaliti seperti itu. Kita perlu berikan yang terbaik ketika bertemu dengan Belanda,” katanya dalam video temubual yang dimuatnaik Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

“Sekiranya perlawanan pertama kita sudah lemah semangat kalau apa-apa terjadi, ia akan menjejaskan semangat pemain kita.

“Jadi, kita perlu bersedia dengan sangat rapi pada perlawanan pertama. Tak mengapa kita menang atau kalah tetapi persembahan terbaik itu sangat penting,” ujarnya.

Selain Malaysia dan Belanda, Chile dan New Zealand juga merupakan sebahagian daripada Kumpulan C. Selepas Belanda, Speedy Tigers bakal berdepan Chile pada 16 Januari dan New Zealand tiga hari selepas itu.